The Red Giants

EN
MY
Selangor FC
SELANGOR FC
BERITA

Selangor Bangkit Benam Perak FC Dengan Skuad Berbeza

Nov 11, 2021 - FAS

Selangor FC menamatkan peringkat kumpulan TM Piala Malaysia 2021 dengan senyuman, mengetepikan Perak FC 2-1 di Ipoh semalam. Ia bukan sahaja kemenangan moral yang amat diperlukan menjelang peringkat suku akhir tetapi perlawanan tersebut juga menunjukkan bahawa Red Giants mempunyai apa yang diperlukan untuk mengharungi fasa kalah mati yang akan datang.

Skuad Yang Besar

Menentang Perak, dua lagi pemain simpanan diberikan penampilan sulung pasukan pertama mereka; pemain sayap Saiful Iskandar Adha Saiful Azlan dan bek kiri Aidil Azuan. Mereka mempamerkan aksi matang untuk membuktikan kebolehan mereka terutama pada separuh masa pertama ketika pasukan ketinggalan.

Perlawanan itu juga menyaksikan kepulangan pemain Jerman, Tim Heubach dan Manuel Konrad kembali dari kecederaan dan diberikan 45 minit pertama untuk memulihkan kecergasan perlawanan mereka.

Persembahan yang ditunjukkan oleh empat pemain ini semalam berbeza-beza, tetapi ketersediaan mereka pastinya akan menambah kualiti kumpulan pemain yang boleh digunakan oleh ketua jurulatih, Karsten Neitzel di peringkat kalah mati.

Jaguh ‘Comeback’

Tiada apa yang dapat mengalahkan perasaan kemenangan yang dijelmakan dari ambang kekalahan, dan malam tadi adalah kali keempat ketua jurulatih Karsten melakukan ‘comeback’ tahun ini.

Walaupun tiada keraguan bahawa terdapat kesilapan yang membawa kepada gol tunggal pasukan tuan rumah pada perlawanan itu, namun kecekalan Red Giants dalam mengubah perlawanan perlu dibincangkan. Dua pemain berhak diberikan pujian, apabila usaha individu mereka akhirnya membawa kepada kemenangan.

Walaupun Sean Selvaraj belum cukup mengungguli carta jaringan musim ini, beliau tetap menjadi penyerang penting melalui larian dan hantaran beliau. Dalam perlawanan semalam, beliau sentiasa mengancam pertahanan lawan, menguji mereka dan mencipta ruang untuk pemain lain. Beliau kemudian melengkapkan persembahan gemilangnya semalam dengan menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-72.

Pemain kedua adalah pemain yang telah menyertai Selangor FC menjelang musim 2019; Wan Zack Haikal. Walaupun persembahan Sean dalam perlawanan itu merupakan persembahan contoh bagi seorang pemain penyerang yang rajin, Wan Zack mempamerkan kecemerlangan individu seorang super-sub.

Masuk pada minit ke-83 menggantikan Danial Asri, Wan Zack hanya memerlukan dua minit untuk mempamerkan kualiti yang dimiliki olehnya selepas Gergasi Merah dihadiahkan sepakan percuma dari jarak 25 meter. Dengan penuh keyakinan, beliau melepaskan satu sepakan melencong, di luar jangkauan Hafizul Hakim dan menerjah jaring untuk memenangi perlawanan.

Kemenangan malam tadi membuktikan bahawa setiap pemain dalam pasukan boleh diharap sekiranya mereka diberi masa untuk memulihkan prestasi mereka.

Semua Objektif Utama Tercapai

Walaupun sesetengah pihak mungkin mengkritik cara perlawanan itu dimenangi, perlu diingatkan bahawa perlawanan semalam tidak dimenangi dengan mudah. Bermain di tempat lawan, sudah pasti pasukan Perak mahu memenangi perlawanan ini ditempat sendiri dan mengakhiri tahun 2021 dengan positif.

Bagi Selangor, perlawanan itu tidak menunjukkan sebarang peningkatan dari segi kedudukan kerana Gergasi Merah sudah pun melakar naib juara kumpulan dan tempat suku akhir. Jadi Coach Karsten telah mengambil peluang untuk memberikan minit permainan kepada pemain lain serta pada yang baru pulih, merehatkan beberapa pemain utama, pada masa yang sama masih mengekalkan objektif untuk memenangi perlawanan.

Tatkala wisel penamat ditiup, pemain simpanan menerima minit yang lebih kompetitif, pemain utama kami diberi nafas panjang dan tiga mata berjaya diraih. Kini, Red Giants sudah bersedia untuk menghadapi suku akhir menentang KL City FC, Ahad ini di laman sendiri.

Disediakan oleh: Zulhilmi Zainal